Sunday, April 5, 2009
BERAPA JAUH - Suhaili Gani
Berapa jauh jarak
sudah aku tempuh
pada suatu simpang
aku harus berhenti
mencari titik yang menggerak
kewujudan sementara ini.
Berapa jauh kelmarin
telah aku tinggalkan
di ruang ingatan masih berpeta
menumbuhkan pohon kenangan
akarnya menjalar
untuk masa depan yang samar.
Berapa jauh esok
dari jangkauan
harapan semata dibangunkan
masa silam yang pedih
di hati yang tidak mengenal kalah.
Suhaili Gani
Bintulu
Labels:
2001,
GB-SIMBOL,
IG-PERJALANAN,
N-KEINSAFAN,
P-SUHAILI GANI,
S-3,
T-KEHIDUPAN
WARKAH HARAPAN - Saiee Driss
ini warkah harapan
untuk tatapan anak-anak nusa bertuah
mari sama-sama kita membaca
untaian mimpi dan hasrat
yang sama-sama kita menulisnya
warkah harapan
ialah cerita tanah air menyusuri sejarah
dengan segala calar-balar
luka di dadanya, luka di hatinya
bengkak lebam pada hasrat dan cita-cita
tapi sembuh kembali setiap kali
kerana visinya jelas
misinya tegas
warkah harapan
ialah cerita bangsa membina peribadi
dengan segala cabaran dan dugaan
kecil besarnya tetap menuntut
kebijaksanaan
kecekapan dan ketangkasan
agar menyusurinya memberi pengalaman
yang indah dalam kilau titisan peluh dan air mata
menjadikan bangsa kita
satu bangsa yang matang dan dewasa
warkah harapan
ialah cerita hasrat dan kemahuan kita
yang kita dambakan
yang kita impikan
yang kita rancangkan
yang kita usahakan
demi mentafsir kehadiran yang sementara
di dunia pinjaman ini
warkah harapan ini
peta laluan kehidupan
budaya laluan tamadun
etika laluan tindakan
adat resam laluan pekerti
untuk kita menuju kedaulatan bangsa
dalam warkah harapan ini
kitalah harapan bangsa
kitalah benteng negara
kitalah pewaris perjuangan
kitalah penentu masa depan
lalu kita dituntut ada keperibadian yang luhur
dan murni
lalu kita diharuskan berpekerti tinggi
menghormati sejarah dan masa lampau
menghormati pejuang-pejuang terdahulu
menghormati adat resam dan warisan budaya
sekalipun ada cacat celanya
kerana hanya dengan menerima masa lalu
mengakui sejarah
meredai segala kekurangan dan cacat cela
yang tercoret dalam suci niat
baru boleh kita bentuk masa depan
membina laluan kita pula
untuk ditinggalkan kepada para penyambung wasiat
apabila berakhir giliran
dalam kesingkatan waktu mengisi zaman
tiada untungnya kita mencerca masa lalu
dengan menghabiskan seluruh tenaga
untuk mencari kesalahan dan kelemahan
dalam keseluruhan yang tidak semuanya kita fahami
adalah lebih manfaatnya
merancang dan bertindak pragmatik
mengisi hari ini dalam kerangka wajar
dengan ilmu dan kemudahan semasa
menyisih segala kealpaan dan kelalaian
yang menjadi mercu tanda zaman
terimalah diri kita
terimalah warisan kita
terimalah hakikat tanah air dan zaman
dengan yakin dan rela
setiap kehadiran ada qada dan qadarnya
yang mengizinkan kita mengamalkan
dan menyusun kota-kota pencapaian
dalam kerangka kudrat dan kebenaran
jangan buang waktu dan tenaga
menyesali dan mengutuk sejarah
menghina kedunguan nenek moyang
pada zaman daifnya
kerana kita sebenarnya terlalu sibuk
dengan jadual hari ini
membetulkan mana yang salah
mengatasi kelemahan dan kekurangan
membaiki mana yang calar
atau kelak kita pula mengulangi kesilapan
yang hari ini kita cemuh dan kesali
satukan barisan angkatan harapan zaman
jadi satu benteng maruah dan harapan
yang tidak menolak sejarah
yang tidak menafikan tuntutan
yang tidak gentar dicabar
yang tidak cuak ke tengah gelanggang
dalam warkah ini harapan
masa depan buana pusaka keramat ini
segala-galanya di tangan kita
segala-galanya di hati kita
segala-galanya tugas dan tanggungjawab
yang diletakkan di pundak kita
dengan pesanan dan wasiat:
sekali berjuang terns berjuang.
Saiee Driss
Sibu
September 2000
Labels:
2000,
N-PATRIOTIK,
P-SAIEE DRISS,
S-11,
T-PATRIOTIK
RUMAH KACA - Jaafar Hamdan
Sudah berkali-kali aku berpesan
kalau mahu membina rumah kaca
jangan biarkan anak-anak kecil itu
bermain di dindingnya
kerana mereka tidak mampu
menatap wajah-wajah retak
yang terlepas pegangan
dimamah silau mentari
bersinar keasyikan
Sudah berkali-kali aku mengingati
kalau mahu membina rumah kaca
kutipkan segera kecaian rasa yang bertaburan
dari terbiar berselerak di lantai jiwa
kerana anak-anak itu
belum mengerti makna berlari
dan tentunya nanti terluka kaki
ketika menuju ke muka pintu
yang terbuka dipaut angin.
Sudah berkali-kali aku ulangi
kalau rumah kaca ini tetap juga mahu dibina
rapatkan daun pintu ini dengan takwa
kemudian kuncikan dengan rantai iman
agar anak-anak kecil itu nanti tidak bisa terlepas
kerana di luar rumah kaca
ada saja yang mengundang walang
hingga anak-anak kecil tidak mengerti
untuk kembali menjadi
generasi rumah kaca yang berperibadi
Jaafar Hamdan
Labels:
2000,
GB-SIMBOL,
IG-KACA,
IG-KANAK-KANAK,
IG-RUMAH,
N-NASIHAT,
P-JAAFAR HAMDAN,
S-3,
T-KEHIDUPAN,
T-RUMAH KACA
PULANG KE KAMPUNG SILAM - Abizai Abi
Kadang-kadang
ingin aku pulang
ke kampung silam
dengan akal sekarang
dan pengalaman matang
menebus segala hutang
di kampung silam
akulah si anak remaja
yang berpengalaman muda
yang berpengetahuan kelam
di kampung silam
banyak lumpur silap
yang kupijak
melekat menjadi sesalan
banyak denai keliru
yang kuturuti
sehingga kehilangan jejak
tapi aku sedar
aku tak mungkin pulang
dengan akal sekarang
dan pengalaman matang
merobah wajah sejarah
kerana kampung silam
kekal di daerah kenangan
menjadi sempadan.
Zainal Abidin Haji Suhaili
Miri, Sarawak
Januari 1999
Labels:
2000,
GB-METAFORA,
N-MELANKOLIK,
P-ABIZAI ABI,
S-4,
T-PENGALAMAN,
T-SEJARAH
MENGANYAM KESEMPURNAAN - Sriwati Labot
Dengan jemari hati yang suci
belahlah rotan-rotan keinsafan
raut dengan pisau tawakal
jemurkan di pelantar sedar
agar hijaunya menjadi matang
agar rapuhnya menjadi teguh
dipancari cahaya fikir
Silangkan bilahnya satu-persatu
dengan saksama
tindihkan dengan warna-warna keseimbangan
dunia dan akhirat
bentukkan dengan kreativiti berpandukan
iman dan kalam tuhan
biar penjurunya berpusar dari ketentuan yang
satu
Andai bilahnya tersasar
berpatahlah ke bucu sedar
usah gusar jadikan iktibar
andai anyaman jarang berlubang
rapatkan segala bilah-bilah takwa
agar sesempurna pintaan yang esa
meskipun belum tentu
Teruskanlah anyaman ini
setabah usia menganyam hari
hati-hatilah mengatur silang
agar tindihan tidak menyimpang
ingatlah pada hala hakiki
penjuru illahi yang abadi
meskipun belum tentu pasti
Dengan rotan-rotan kehidupan
anyamlah bilah-bilah kesempumaan
meskipun belum tentu sempurna
Sriwati Labot
Labels:
2000,
GB-METAFORA,
IG-ROTAN,
IG-SENI ANYAMAN,
N-RELIGUS,
P-SRIWATI LABOT,
S-5,
T-KEIMANAN
UNTUK MENJADI WARGA SEJATI - Abizai Abi
Untuk menjadi warga sejati
bukan sekadar berbaring di padang tanahair
menumpang senang
bukan sekadar berdiam di sarang pertiwi
mengeram mimpi
layar usaha wajar dikembang
angin fikiran perlu diseru
sungai cabaran sanggup diharungi
ke pulau kemajuan arah dituju
lautan sejagat berani dibelah
bahtera Malaysia berlayar megah
untuk menjadi warga sejati
begitu mahal harganya
tiada dapat disukat
dengan hujan ringgit yang lebat
tiada dapat dihitung
dengan kepingan emas yang berkarung
segalanya pautu dibayar
dengan mengerjakan sawah bakti yang lebar
segalanya harus ditebus
dengan membina kilang jasa yang besar
bendera kepentingan negara tinggi dikibar
untuk menjadi warga sejati
wajib mengenal lorong sejarah ibunda
dengan sarat insaf mengingati
perjuangan para wira meneroka rimba merdeka
ancaman sengat penjajah tiada diindah
ugutan kuku bintang tiga tiada digentar
darah mengalir di pertarungan getir
ranum kebebasan jadi ganjaran
hadiah pusaka buat waris bertuah
untuk menjadi warga sejati
mesti tahu memasang teraju peranan
di dalam menyiapkan layang-layang wawasan
sanggup memikul berat bakul tanggungjawab
penuh jujur menjaga telur amanah
tiada dibiarkan pecah
penuh bangga membela sekawan setia
di akuarium j iwa
penuh cermat mengukir awan larat sopan
di siling perlakuan
wajah maruah negara
sentiasa dihias jelita
untuk menjadi warga sejati
rawatkanlah luka sengketa sesama kita
kupaskanlah parut curiga di kulit sukma
songket harmoni sepakat tekun ditenun
jala toleransi bersama lebar ditebar
setiap rerama bangsa
menghirup madu kemakmuran yang sama
di kelopak bunga nusa tercinta.
Zainal Abidin Haji Suhaili
Miri,
Februari 1995
Labels:
1999,
GB-METAFORA,
IG-ALAM,
N-PATRIOTIK,
P-ABIZAI ABI,
S-5,
T-KEWARGANEGARAAN,
T-PATRIOTIK
MENJADI KAPAL - Dahiri Saini
Menjadi kapal
harus mengenal kelokan angin
pecahan ombak
serta tekun menterjemah kenakalan laut
kerana dasarnya getar rahsia
yang belum terungkap segalanya.
Menjadi kapal
arah tujuan mesti dalam diri
serta tabah pada olengan yang memabukkan
kadangkala menjadi mimpi ngeri
kala sirip ikan yu sering mengekori
menghidu kelalaian diri.
Menjadi kapal
harus merambihi setiap pelabuhan
serta peka pada layahan dan junaman
burung-burung laut itu
kerana penjelmaannya
rentak alam yang perlu dipelajari.
Menjadi kapal
belayarlah persefahaman dengan laut
musim-musim seterusnya.
Dahiri Saini
UNIMAS
Labels:
1999,
GB-SIMBOL,
IG-KAPAL,
IG-LAUT,
IG-PELABUHAN,
N-RELIGUS,
P-DAHIRI SAINI,
S-4,
T-KEHIDUPAN
Subscribe to:
Posts (Atom)
