Sunday, April 5, 2009

PULANG KE KAMPUNG SILAM - Abizai Abi



Kadang-kadang
ingin aku pulang
ke kampung silam
dengan akal sekarang

dan pengalaman matang
menebus segala hutang

di kampung silam
akulah si anak remaja
yang berpengalaman muda

yang berpengetahuan kelam

di kampung silam
banyak lumpur silap
yang kupijak
melekat menjadi sesalan

banyak denai keliru
yang kuturuti
sehingga kehilangan jejak

tapi aku sedar
aku tak mungkin pulang

dengan akal sekarang
dan pengalaman matang
merobah wajah sejarah
kerana kampung silam
kekal di daerah kenangan
menjadi sempadan.



Zainal Abidin Haji Suhaili
Miri, Sarawak
Januari 1999

No comments:

Post a Comment