(buat bakal mentua)
Maafkan kelancanganku menangguh
malam akad janji
bukannya cintaku berpaling lari
atau seri bulan purnama enggan menyimbah
cahaya pada setiap helai-helaian
sirih junjung dari pihakmu
maafkan kebiadabanku enggan
menyelak pintu hidup baru walaupun
kocak riak hatimu amat memerlukannya
meskipun kekunci itu di tanganku
sesungguhnya pengertian darimu
kugarap jadi satu;
menjadi suri segala suri harus bersedia terkunci dalam
kota kaca janji binaan sendiri
maaf kerana kelancangan dan
kebiadaban ini. lima ribu serba satu
tidak bisa menyambung retak-retak
rindu ayah bondaku; bukanlah nasib
yang bisa kutanak menjadi santapan
arjunamu jua bukan syair rindu
yang boleh menghentikan rengek tangis
cucumu di buaian hari
lima ribu serba satu sekadar menjunjung
adat yang tidak bisa dilangkahi
justeru maafkan aku, bakal menantumu yang
belum mampu meracik sirih pinang sebagai
penyeri tepak sirih di sudut serambi tetamu hidup
lima ribu serba satu adalah janji
kesetiaan dalam percaturan ini;
bukan harga sebuah maruah yang dihadiahkan
padamu dan bukannya nilai cita-cita yang
tergadai di puncak menara gading
justeru maafkan kelancanganku
menangguh malam akad janji
Noraisyah Syuhadah
PPSSP, UPM
Showing posts with label IG-CAHAYA. Show all posts
Showing posts with label IG-CAHAYA. Show all posts
Monday, April 6, 2009
Saturday, April 4, 2009
SI PEMBAWA OBOR - Taufiq Firdausi
sentiasa khuatir melihat kelam esok
kalau tiada lampu suluh
bawalah obor buluh
mendaki puncak
perkayakan hidup dengan pengalaman
di sebalik cabaran kita bina rantai tabah
di penjuru onak duga kita rintis semangat
pancaran dari bening obor luhur
perjuangan sentiasa nyaring berkumandang
kasihkan kekasih geloranya memuncak di kala muda
kasihkan watan bekasnya sepanjang zaman
bahang obor menerjah Jiang sejarah
menerobos belukar tamadun
lekat di tugu hati bangsa
menjadi khazanah
jika obor bangsa terpadam kelak
jangan salahkan bayan budiman
lagu mersiye lagu sabak
tak berguna lagi
Mohd Taufek Mohd Said
Limbang
September 1996
Labels:
1997,
GB-SIMBOL,
IG-CAHAYA,
IG-LAGU,
N-KEINSAFAN,
P-TAUFIQ FIRDAUSI,
S-4,
T-EMOSI,
T-KEHIDUPAN
Subscribe to:
Posts (Atom)
