Showing posts with label GB-PERBANDINGAN. Show all posts
Showing posts with label GB-PERBANDINGAN. Show all posts
Sunday, April 5, 2009
BAHASA KEPADA LELAKI - Maslina Mahbu
suntikkan sapa dalam bahasamu
masukkan lembut dalam suaramu
masakkan sopan dalam gerakmu
cernakan hormat dalam tingkahmu
- bahasa kepada lelaki –
gerutunya menjentik naluri
sang hawa yang perlu dimanisi
lenggok gemalai bahasamu lelaki
melebur lahar dada sang pertapa
bertuahnya kau dianugerahi
permintaanmu dituruti
kau tidak lagi sunyi
getarmu ada penenang kini
sang hawa bukannya hamba abdi
kau tengking sesuka hati
ia harus dihalusi
segenap bongkak tersembam di bumi
kau kuasai diri
olah bahasamu yang kasturi
setanggi benakmu kenanga sari
mewangi taman larangan ini
mans tebu di bibir
meresap ke dasar nubari
merentap kasar lubuk derhaka
menjadi semurni sungai yang mengalir
dari air terjun gunung serapi
bangga menepuk dada
kerana bahasamu lelaki
indah selubungku!
Maslina Mahbu
POLIKU
14 Jun 2005
RUMAH INI, SAKSI BISU - Norsari Haji Abdul Hadi
Rumah ini pernah
menimang anak-anak huninya
dari generasi ke generasi
Rumah ini
pernah menjadi saksi
kedukaan dan kebahagiaan
kegagalan dan kejayaan
Rumah ini, biar pun
hampir condong di terjah zaman
namun cekal menanggung bebanan
Rumah ini, saksi bisu
cekal menyimpan kenangan
saksi bisu, berjanji pada sang mentari
tidak gentar pada hujan walau sebesar lengan
tiada cabut walau di tendang sang badai
Rumah ini, saksi bisu
sepanjang zaman
Norsari Haji Abdul Hadi
Badong, Daro
PENGANTIN - Ummy Hafiza Mahri
pada satu masa yang ditetapkan
kita pasti dirisik
pertunangan sejak azali
di hujung hidup nanti
berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut
hantarannya – sakit dan nazak
tamu bertandang menghadiahkan sorak tangis
pengantin dimandikan
dipakaikan baju cantik putih
wangian gaharu dan cendana
keranda jadi pelaminan
pengantin bersanding sendirian
di arak keliling kampung
berkompangkan azan dan kalimah kudus
akad nikahnya bacaan talkin
berwalikan liang lahad
saksi pula nisan-nisan
siraman air mawar
keluarga terdekat menepung tawar
tiba masa pengantin
menunggu sendirian
malam pertama bersama KEKASIH
di kamar bertilamkan tanah
dan Dia menuntut janji
sucikah kita tatkala berpadu
pernahkah taubat sepanjang hayat
atau terkubur bersama dosa-dosa
dan Dia Kekasih itu
mungkin membawamu ke syurga
dan bisa juga melontarmu ke neraka
Ummy Hafiza Mahri
Labels:
2003,
GB-PERBANDINGAN,
GB-SIMBOL,
N-MISTIK,
N-RELIGUS,
P-UMMY HAFIZA MAHRI,
S-1,
T-AGAMA,
T-KEMATIAN
Subscribe to:
Posts (Atom)
