Sunday, April 5, 2009

KITA BINA SEGALANYA BERSAMA - Jaafar Hamdan



Bumi yang kita pijak dengan kudrat dan hasrat ini
adalah hamparan keramat daripada titisan keringat
nenek moyang kita yang berjuang menyekang perit
memayungi kemerdekaan menjulang peradaban
demi maruah dan harga diri sebagai Melayu sejati
agar nanti, anak cucunya tidak lagi mengemis
di tanahnya sendiri!

Sejarah itulah mendewasakan kita membina makna
dengan nilai sejagat yang semakin mendesak pesat
kehidupan yang terlaksana dari untaian-untaian harga sebuah
kemakmuran yang bertunjangkan
keutuhan ekonomi ligat menabur khidmat
buat masyarakat harmoni bersemangat kuat
menjana makna sebuah negara yang tercinta
Malaysia!

Lalu masa depan perlu kita pacakkan kemenangan
berlandaskan kematangan ilham merencana
ekonomi negara, ekonomi kita, bersama mengira
untung rata dirasa, nikmat sepakat diguna
kerana kita bina segalanya bersama
agar nanti tidak ada yang merana dan terseksa

di tanahnya sendiri, asal bijak mengerti
untuk apa berkorban berkali mengisi
ekonomi diri dengan rasa dan minda
demi diri, bangsa, agama dan negara!


Jaafar Haji Hamdan
Kuching, Sarawak.

No comments:

Post a Comment