Sunday, April 5, 2009

UNTUK-MU KEKASIH SESUCINYA HIJRAH - Jemat Gani



kekasih
nama-Mu dalam diriku

wujudnya aku kerana-Mu

terima kasih kekasih ...
rahmat-Mu penyambung nyawa

kusambut salju pagi
maal hijrah 1425
menghampiri akar usiaku
menjangkau dan meninjau
di gerbang petang yang tenang

dalam syandu nan terharu
kutadah lautan doa
menyebut memuji 99 nama-Mu nan suci
andainya dosa menyelimuti diri

engkau ampunilah daku
dengan zat-Mu yang Maha Pengampun
maal hijrah yang berkat
kehadiranmu kusambut mesra

dengan harapan dan keinsafan
bersama sumpah dan taubat

kekasihku tersayang
hapuskanlah duka nestapa semalam

jangan biarkan putera puteri
dahaga lapar
perutnya kosong
alir fikirnya kontang
jangan biarkan para isteri
menanak batu di dalam
tempurung

menjerang air di dalam tin karat
jangan biarkan ayah bonda
berendam air mata
di rumah pengasih
menagih kasih yang tersisih

wahai kekasih ...
percayalah cintaku
pada-Mu dicurahkan segala

biarpun sesekali alpa
kabur mata diulit ringgit

buta hati dibuai kuasa
tuli telinga dibisik dunia

kekasihku penyambung nyawa
puji-pujian hanya untuk-Mu
sejahterakanlah
bangsaku, agamaku dan Malaysiaku

untuk mengharungi hijrah fitrah ini
gemilang dalam cemerlang

untuk selama-lamanya ...


Jemat bin Gani
Sadong Jaya
230204

No comments:

Post a Comment