Sunday, April 5, 2009

WARKAH HARAPAN - Saiee Driss



ini warkah harapan
untuk tatapan anak-anak nusa bertuah

mari sama-sama kita membaca
untaian mimpi dan hasrat
yang sama-sama kita menulisnya


warkah harapan
ialah cerita tanah air menyusuri sejarah
dengan segala calar-balar
luka di dadanya, luka di hatinya
bengkak lebam pada hasrat dan cita-cita
tapi sembuh kembali setiap kali
kerana visinya jelas
misinya tegas

warkah harapan
ialah cerita bangsa membina peribadi
dengan segala cabaran dan dugaan
kecil besarnya tetap menuntut
kebijaksanaan
kecekapan dan ketangkasan
agar menyusurinya memberi pengalaman
yang indah dalam kilau titisan peluh dan air mata
menjadikan bangsa kita
satu bangsa yang matang dan dewasa

warkah harapan
ialah cerita hasrat dan kemahuan kita
yang kita dambakan
yang kita impikan
yang kita rancangkan
yang kita usahakan
demi mentafsir kehadiran yang sementara
di dunia pinjaman ini

warkah harapan ini
peta laluan kehidupan
budaya laluan tamadun
etika laluan tindakan
adat resam laluan pekerti
untuk kita menuju kedaulatan bangsa

dalam warkah harapan ini
kitalah harapan bangsa
kitalah benteng negara
kitalah pewaris perjuangan
kitalah penentu masa depan
lalu kita dituntut ada keperibadian yang luhur

dan murni
lalu kita diharuskan berpekerti tinggi

menghormati sejarah dan masa lampau
menghormati pejuang-pejuang terdahulu
menghormati adat resam dan warisan budaya
sekalipun ada cacat celanya
kerana hanya dengan menerima masa lalu

mengakui sejarah
meredai segala kekurangan dan cacat cela

yang tercoret dalam suci niat
baru boleh kita bentuk masa depan

membina laluan kita pula
untuk ditinggalkan kepada para penyambung wasiat
apabila berakhir giliran

dalam kesingkatan waktu mengisi zaman
tiada untungnya kita mencerca masa lalu
dengan menghabiskan seluruh tenaga
untuk mencari kesalahan dan kelemahan
dalam keseluruhan yang tidak semuanya kita fahami

adalah lebih manfaatnya
merancang dan bertindak pragmatik

mengisi hari ini dalam kerangka wajar
dengan ilmu dan kemudahan semasa
menyisih segala kealpaan dan kelalaian
yang menjadi mercu tanda zaman
terimalah diri kita
terimalah warisan kita
terimalah hakikat tanah air dan zaman

dengan yakin dan rela
setiap kehadiran ada qada dan qadarnya

yang mengizinkan kita mengamalkan
dan menyusun kota-kota pencapaian
dalam kerangka kudrat dan kebenaran

jangan buang waktu dan tenaga
menyesali dan mengutuk sejarah
menghina kedunguan nenek moyang

pada zaman daifnya
kerana kita sebenarnya terlalu sibuk

dengan jadual hari ini
membetulkan mana yang salah
mengatasi kelemahan dan kekurangan

membaiki mana yang calar
atau kelak kita pula mengulangi kesilapan

yang hari ini kita cemuh dan kesali

satukan barisan angkatan harapan zaman
jadi satu benteng maruah dan harapan
yang tidak menolak sejarah
yang tidak menafikan tuntutan
yang tidak gentar dicabar
yang tidak cuak ke tengah gelanggang

dalam warkah ini harapan
masa depan buana pusaka keramat ini

segala-galanya di tangan kita
segala-galanya di hati kita
segala-galanya tugas dan tanggungjawab

yang diletakkan di pundak kita
dengan pesanan dan wasiat:
sekali berjuang terns berjuang.




Saiee Driss
Sibu
September 2000

No comments:

Post a Comment