Showing posts with label T-KEHIDUPAN. Show all posts
Showing posts with label T-KEHIDUPAN. Show all posts

Monday, April 6, 2009

CERMIN HAYAT - Abang Median Abang Said

di cermin diri
merenung kolam mata dosa
melihat jasad hitam
sedang mulut pengertian
bisu disulam kelu

di cermin diri
merenung tangan nista
menatang dulang kemewahan
dari telapak penindasan
memerah susah
hati iman tak mampu bersuara

di cermin diri
melihat kepala kuasa
semakin membesar
dikuasai akal amarah
dikuasai angguk lawamah
berkopiah pura-pura
hanya untuk mata bahasa

kini
dicermin kesedaran diri
mula mengerti
hidayah menginsafi
kesunyian haru
tangisan taubat bergugusan
membasuh penyesalan
tikla manik-manik kesedaran
menjadi tasbih azam
menghitung hari-hari kematian.

TITIAN HIDUP - Lawrence Atot




Sesekali pelangi datang
meredah mentari dan hujan
mencorakkan warna-warna gemilang

di dalam lembah kehidupan.

Kehijauan alam
memagari cintakasih sejagat

menyemai benih-benih azam
pada batas setia dan semangat.

Kini tegak berseri
bangunan pencakar langit berdiri
mobil kian rakus berlari

membiak hari demi hari
memenuhi cita-cita harga diri.

Namun di jendela hidup ini
meratap unggas di rimba sepi
meratap ikan-ikan di dasar kali
meratap pungguk di kaki malam
menatap bulan berwajah suram

Pada keterasingan ini
ingin kutemui jalan hakiki
satu cita satu hari,
kerana

dunia akan memuntahkan laharnya
pada bakal pewaris bangsa
di sebalik kealpaan manusia.




Lawrence Atot
Quop, Kuching

SUATU PERJALANAN - Lawrence Atot




Dingin malam sepi mencengkam
danau hati berkocak sunyi
berbaur ilusi ke muara mimpi.

Menatap arca hidup ini
terasa betapa kerdilnya diri
meniti usia di kaki hari,
sedangkan roda-roda waktu
berputar kian laju
tanpa lesu-lesu
mengiringi jalan berliku
yang penuh debu.

Kukutip bicara malam
antara kerdipan bintang suram
barangkali ada ketikanya
sang hujan kan menyapa
panah-panah arjuna
meranap harapan segala
rama dan sita
namun perjuangan tetap bermukim

berbunga di setiap musim.



Lawrence Atot
Quop, Kuching

Sunday, April 5, 2009

KELAWAR DAN SANGKAR - Abizai Abi



Kata-kata hitam yang kulontarkan
ke dalam gula teduhmu
telah bertukar menjadi kelawar
menggigit pilu hulu hatiku

hanya sakti putih kemaafanmu
mampu menjelmakan negeri sangkar
memerangkap sang kelawar
yang semakin liar


Zainal Abidin Haji Suhaili
Miri,
Julai 2006

TERIMA KASIH, CIKGU - Rosani Hiplee



Seperti nyanyian burung pagi
kudengar cerita nasihatmu
kuhayati tunjuk ajarmu
kufahami bahasa sabarmu.

Berkilau sinar permata budi
bagaikan lilin membakar diri
jasamu kujunjung tinggi
tiada dilupa hingga akhir nanti.

Terima kasih, cikgu
walau jarang diucapkan
tapi yang nyata
setiap kejayaanku

bermula dari jerih usahamu
dan pastinya is kuingat selalu

apalagi kala tibanya Hari Guru.



Rosani Hiplee
16 Mei 2007
Kuching, Sarawak.

KUNANTI KAUPULANG



Kunanti kaupulang
ke sarang hati yang menyanyikan

dondang sayang
ladoh lanang.

Kunanti kaupulang
ke mata pandang yang menyaksikan

tari ajat
penca gertak
seni silat dan
kelahi Puteri Santubong.

Kunanti kaupulang
ke suluh indera yang mendengar

keluhan bayi
bisik sayang isteri juga
rengek suami yang payah
mencari realiti.

Kunanti kaupulang
ke ruang rasa yang menguji
pahit manis kehidupan
asam garam kemanusiaan
masam manis perhubungan
sesama kita insan yang dilahirkan.

Kunanti kaupulang
ke sudut-sudut intuisi
betapa nilai kita
yang penuh kemanusiaan
keperluan kita untuk bermanja

sekalipun pahit dimamah erti dewasa
kita sebenarnya penuh potensi
untuk menuntut segala
yang segan berkata-kata ialah
naluri hipokritisme yang
suram di mata sorotnya.

Dan aku terns menanti kaupulang
dalam kerinduan yang payah.



Jais Sahok,
Kuching.

DINDING - Roslan Jomel



barangkali hari ini
aku menemui manusia sempurna

sedang duduk dalam kafe tengah kota
mukanya dilindungi kabus
bawaan sifat watak wayang.

aku memilih kerusi di luar
memerhati matanya bersilangan tajam

dan secawan kopi yang lebih luas
daripada senyuman serongnya
dia menyukai meja bersentuhan dinding

perlahan terapung suasana berlapisan
di bawah pengaruh menungannya
aku tidak berdaya melintasi bingkai
fikirannya menyorong selut perasaan.

jikalau dia mendongak siling
mungkinkah dahinya mencecah langit?

setiap ungkapan berbayang timbunan buku
dengan bahasa berbeza ucapan harian
pengunjung pasar anak muda
dia melintangkan budaya kebiasaan

barangkali aku hanya serbuk abu rokok
berbanding jangkaan darjatnya.

dengan gaga membenci rupa hujan
aku memasuki kafe seakan pelarian
duduk diam di belakang
manusia yang lebar tengkuknya

dari sisi pipi, tubuhnya ramping
tanda otak yang menekan had tenaga
sikunya sedikit berisi
memikul dunia ciptaan khayalannya

keningnya tebal warisan kekebalan
lihat namanya aneh disebut.

sambil meneguk kopi lambang empayar
kanta sorotannya menghala lurus
di celah ribuan orang tepian jalan
makhluk yang berkepala leper
setiap sudut di situlah dia memiliki
negara jajahan dan era baru
atau kerajaan yang ditelunjuknya.

kerana kejadiannya terpilih
oleh kesempurnaan akalnya
sejarah tidak akan panjang
tanpa menulis nama awal dan akhirnya

hingga aku dilarang menyentuh
kulit yang mengagung keturunannya

di tepi dinding sebuah kafe
dia bersembunyi pada garisan politik

sentiasa menayangkan senyuman benuanya.



Roslan Jomel
Ampang Utama.

BERAPA JAUH - Suhaili Gani



Berapa jauh jarak
sudah aku tempuh
pada suatu simpang
aku harus berhenti
mencari titik yang menggerak

kewujudan sementara ini.

Berapa jauh kelmarin
telah aku tinggalkan
di ruang ingatan masih berpeta

menumbuhkan pohon kenangan
akarnya menjalar
untuk masa depan yang samar.


Berapa jauh esok
dari jangkauan
harapan semata dibangunkan

masa silam yang pedih
di hati yang tidak mengenal kalah.



Suhaili Gani
Bintulu

RUMAH KACA - Jaafar Hamdan



Sudah berkali-kali aku berpesan
kalau mahu membina rumah kaca
jangan biarkan anak-anak kecil itu
bermain di dindingnya

kerana mereka tidak mampu
menatap wajah-wajah retak
yang terlepas pegangan
dimamah silau mentari
bersinar keasyikan

Sudah berkali-kali aku mengingati
kalau mahu membina rumah kaca
kutipkan segera kecaian rasa yang bertaburan

dari terbiar berselerak di lantai jiwa
kerana anak-anak itu
belum mengerti makna berlari
dan tentunya nanti terluka kaki
ketika menuju ke muka pintu
yang terbuka dipaut angin.

Sudah berkali-kali aku ulangi
kalau rumah kaca ini tetap juga mahu dibina

rapatkan daun pintu ini dengan takwa
kemudian kuncikan dengan rantai iman
agar anak-anak kecil itu nanti tidak bisa terlepas
kerana di luar rumah kaca
ada saja yang mengundang walang

hingga anak-anak kecil tidak mengerti
untuk kembali menjadi

generasi rumah kaca yang berperibadi


Jaafar Hamdan

MENJADI KAPAL - Dahiri Saini



Menjadi kapal
harus mengenal kelokan angin
pecahan ombak
serta tekun menterjemah kenakalan laut

kerana dasarnya getar rahsia
yang belum terungkap segalanya.

Menjadi kapal
arah tujuan mesti dalam diri
serta tabah pada olengan yang memabukkan

kadangkala menjadi mimpi ngeri
kala sirip ikan yu sering mengekori

menghidu kelalaian diri.

Menjadi kapal
harus merambihi setiap pelabuhan

serta peka pada layahan dan junaman
burung-burung laut itu
kerana penjelmaannya
rentak alam yang perlu dipelajari.

Menjadi kapal
belayarlah persefahaman dengan laut

musim-musim seterusnya.



Dahiri Saini
UNIMAS

Saturday, April 4, 2009

KELAWAR KESIANGAN - Abizai Abi




Akulah sang kelawar kesiangan
yang tak sempat siap beradu
ketika malam berangkat pulang

dan pagi mula merintis rimba siang

dalam terang siang
kelibat hebatku semakin menghilang

dalam haba suria
tubuh sukmaku tersengat bisa

aku hanya dapat mengenangkan
deria ilhamku yarig cepat terangsang
di alam malam
aku cuma mampu membayangkan

zuriat bakatku yang membiak ligat
di gelap pekat

rakyat siang terlalu kejam
melulu menghukum
kulitku yang hitam
masyarakat siang terlalu angkuh

menganggap kerdil
kepakku yang mula lenguh

mereka lupa
tanpa gelap
cahaya tak akan menjelma
dan siang tak mungkin bernama.




Zainal Abidin Haji Suhaili

SATU TAFSIRAN - Sriwati Labot



Kemungkinan
malam ini embun tidak lagi turun

membasahi mimpi yang hanya
berbalam
datang
di landasan usia
tapi sering hilang
di sebalik kelopak mata
malam pun semakin resah
semakin hangat
panjang dan kelam
membungkus langkah berani


Kemungkinan
mentari esok
akan hilang angin
dan dawn-dawn mudah kering
gugur berselerak
tidak lagi terkawal
jinak terpijak kaki yang berlari buas

rumput-rumput yang tumbuh pun
layu sebelum kembang

Lalu aku semakin tidak mengerti
tentang harga diri masyarakat
tentang air kali yang melimpah
tidak lagi sejernih dulu
hanya asyik membilang resah dari

sensitiviti
pandangan dan nilai sebuah tebing

semakin runtuh
dirempuh angin senja.




Sriwati Labot

SI PEMBAWA OBOR - Taufiq Firdausi


sentiasa khuatir melihat kelam esok
kalau tiada lampu suluh
bawalah obor buluh
mendaki puncak

perkayakan hidup dengan pengalaman
di sebalik cabaran kita bina rantai tabah
di penjuru onak duga kita rintis semangat
pancaran dari bening obor luhur
perjuangan sentiasa nyaring berkumandang

kasihkan kekasih geloranya memuncak di kala muda
kasihkan watan bekasnya sepanjang zaman
bahang obor menerjah Jiang sejarah
menerobos belukar tamadun
lekat di tugu hati bangsa
menjadi khazanah

jika obor bangsa terpadam kelak
jangan salahkan bayan budiman
lagu mersiye lagu sabak
tak berguna lagi




Mohd Taufek Mohd Said
Limbang
September 1996

Wednesday, April 1, 2009

MALAM TUA - Lawrence Atot


Malam tua
Penunggu setia
Aku kini kembali
Mencari erti diri

Terasa sudah lama
Aku tidak menemanimu
Menghitung angin masa
Mendengar nyanyian cengkerik sayu

Hanya sesekali
Diri ini mula sedar
Dari mimpi ngeri
Dari harapan yang terbakar

Ajarlah aku lagi
Tentang manusia
Dan kemanusiaan
Tentang setia
Dan perjuangan
Kerana impianku
Kian ranum
Mengiringi semangatku
Yang semakin subur menguntum
Seperti suatu ketika dahulu


Lawrence Atot
Kuching

CERITA SI BURUNG BULBUL - Dahiri Saini

(buat mohd danial)



wahai si anak bulbul hinggaplah di pohon-Nya
menciaplah di sangkar nawaitu
sedutlah nafas keredhaan di ranting waktu
cakarlah
sangkar kejahilan di akar diri kalian
terselamat dari intip pemangsa yang sentiasa
mengawasi gerak peribadi, wahai di anak bulbul
belajarlah jinak berani di ujung dahan
jangan mudah melatah bila ribut nestapa
meretak telurmu ketika
ribut dari barat membadai

wahai si anak bulbul bersihkan
najis kesilapan masalalu kunyahlah ulat
persefahaman dengan seikhlasnya dan menelan
dengan tertib
dalam redup daun-daun dari pohon-Nya
agar membisikkan nikmat fardhu
hingga
ke urat pemaknaan



Dahiri Saini
UNIMAS
September 1996

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG TUA - Arjuna Mustapha



Seorang tua dengan rezekinya tersimpul
keringat memercik malas
di celah-celah keazaman terpendam
ingin menuai kurnia-Nya dari penjuru waktu
terlalu payah menentang suratan masa
hingga pudar gagasannya di balik senja jingga.

Dari seorang tua terhina menyusun usia
menyelak tabir sejarah keringat
sisa denyutan di dada masih merela
tulang-temulang menjejak permaidani hamparan moyang
masih hangat keringat tuanya
kerana bumi ini bumi tua
walau tidak seusia dengannya

Hari ini Si Tua membilang dosa
bersama tasbih menjelang hari-hari terakhirnya
maya kian uzur mentari hilang cahaya
embun membahang subuhnya
esok pasti ada cetera keberangkatan
seorang tua ke alam baqA.




Arjuna Mustapha
Pesan Si Tua
"Penyesalan sebermula usia semulia amal manusia."

GERABAK USIA - Akab



sebetulnya kita adalah
penumpang
di gerabak usia mengisi hayat
tahun yang bertukar
memindahkan kita
ke sebuah gerabak lain
menempah zaman asing

landasan perjalanan ini
menuju destinasi
gerabak yang kita tumpangi
melanggar ruang ribut
dan dinding keras
sesekali terdampar isi
peribadi berserak sepanjang
rel kehidupan
lalu ia mencorak pengalaman
terpaksa kita kutip kekuatan
menahan hentakan kejahilan
dan goncangan pendirian

selagi gerabak usia meluncur
masih ada stesen idaman
kita sempat memijak
lantai perhentian
kemudian merebut kilauan
kaca tanpa kita sedar
bersama yang kita bawa
adalah selonggok batu
dan besi karat penuh noda

sejauh manakah harus
kita lanjutkan
gerabak usia ini
sedang telah kita tempah
tiket kematian paling pasti.


Abang Kassim Abang Bujang
AKAB
Sri Aman