Showing posts with label N-KEASYIKAN. Show all posts
Showing posts with label N-KEASYIKAN. Show all posts
Sunday, April 5, 2009
TERIMA KASIH, CIKGU - Rosani Hiplee
Seperti nyanyian burung pagi
kudengar cerita nasihatmu
kuhayati tunjuk ajarmu
kufahami bahasa sabarmu.
Berkilau sinar permata budi
bagaikan lilin membakar diri
jasamu kujunjung tinggi
tiada dilupa hingga akhir nanti.
Terima kasih, cikgu
walau jarang diucapkan
tapi yang nyata
setiap kejayaanku
bermula dari jerih usahamu
dan pastinya is kuingat selalu
apalagi kala tibanya Hari Guru.
Rosani Hiplee
16 Mei 2007
Kuching, Sarawak.
Labels:
2007,
GB-NARATIF,
IG-ALAM,
IG-LILIN,
IG-PERMATA,
N-KEASYIKAN,
P-ROSANI HIPLEE,
S-3,
T-KEHIDUPAN,
T-PENDIDIKAN
HUJAN SERONG - Roslan Jomel
1
hujan petang, turun menyerong
titik yang disorong angin
terhempas dan meleleh bagai tangisan
di dinding kaca tempias liar yang
menyelit dari tingkap memilih
tepi meja, kemudian bertakung timbul.
tompokan jernih berhenti lemah
seperti bergayut menahan isi kandungan
yang menggembung di dataran kaca licin
tiupan dari belakang telah menggoyang
ikatan di dinding, seperti tumpahan sisi gelas
yang melurut lemah.
2
hujan petang yang melanggar dinding luar
mengilukan ingatan mataku
titisan tersangkut di kaca tingkap kafe
mengirim kerlipan wajah tenang ayah
sedang berjalan memikul sepasang dayung
kolar bajunya menggigil seperti ekor ikan
agak perlahan dan terkeliru menembusi mendung
dia hilang di balik selekoh sungai
di tebing, pokok nipah bercabangan.
aku memeluk batang nibung di jambatan
hujan dan angin berbelitan
menderu ke telinga bagai menyanggahku
lumpur di seberang berkilauan dipancar
kulit tembakul dan sepit ketam.
apakah yang dicari ayah sewaktu hujan?
perahu kecilnya mudah mengalah
kepada tempuhan gelombang kapal
arus laut akan memusingkan haluan dan
buritan, akhirnya dia diusir tepi oleh
ribut yang lebih bertulang daripada harapannya.
hujan petang mengikatnya kepada watak air
yang lembut tetapi mencemuh
ranting pedada dan pucuk nipah
melindungi serabut perasaannya
perahu yang melintang anak sungai
dilambung dan menggoncang keliki
seperti menahan deburan hati.
3
di hujung dunia yang berair
alam kendur mengalahkan jari tangan
kehidupan daratan berhembus kencang
meninggalkan lumpur kering di betis
berdepan kota berbatu dan jaringan
muslihat daratan, dia berundur dihambat
bayang bangunan, seperti siput tertimbus
selut yang diburu air pasang.
Roslan Jomel
Ampang Utama
Labels:
2005,
GB-NARATIF,
IG-HUJAN,
IG-KAFE,
IG-PERAHU,
N-KEASYIKAN,
N-MELANKOLIK,
P-ROSLAN JOMEL,
S-7,
T-ALAM,
T-HUJAN,
T-KEKELUARGAAN
DINDING - Roslan Jomel
barangkali hari ini
aku menemui manusia sempurna
sedang duduk dalam kafe tengah kota
mukanya dilindungi kabus
bawaan sifat watak wayang.
aku memilih kerusi di luar
memerhati matanya bersilangan tajam
dan secawan kopi yang lebih luas
daripada senyuman serongnya
dia menyukai meja bersentuhan dinding
perlahan terapung suasana berlapisan
di bawah pengaruh menungannya
aku tidak berdaya melintasi bingkai
fikirannya menyorong selut perasaan.
jikalau dia mendongak siling
mungkinkah dahinya mencecah langit?
setiap ungkapan berbayang timbunan buku
dengan bahasa berbeza ucapan harian
pengunjung pasar anak muda
dia melintangkan budaya kebiasaan
barangkali aku hanya serbuk abu rokok
berbanding jangkaan darjatnya.
dengan gaga membenci rupa hujan
aku memasuki kafe seakan pelarian
duduk diam di belakang
manusia yang lebar tengkuknya
dari sisi pipi, tubuhnya ramping
tanda otak yang menekan had tenaga
sikunya sedikit berisi
memikul dunia ciptaan khayalannya
keningnya tebal warisan kekebalan
lihat namanya aneh disebut.
sambil meneguk kopi lambang empayar
kanta sorotannya menghala lurus
di celah ribuan orang tepian jalan
makhluk yang berkepala leper
setiap sudut di situlah dia memiliki
negara jajahan dan era baru
atau kerajaan yang ditelunjuknya.
kerana kejadiannya terpilih
oleh kesempurnaan akalnya
sejarah tidak akan panjang
tanpa menulis nama awal dan akhirnya
hingga aku dilarang menyentuh
kulit yang mengagung keturunannya
di tepi dinding sebuah kafe
dia bersembunyi pada garisan politik
sentiasa menayangkan senyuman benuanya.
Roslan Jomel
Ampang Utama.
Labels:
2004,
GB-SIMBOL,
IG-KAFE,
IG-WAJAH ANEH,
N-KEASYIKAN,
N-KEINSAFAN,
N-MISTIK,
P-ROSLAN JOMEL,
S-6,
T-KEHIDUPAN
SITI ZUBAIDAH -Zainudin Lokman
Lunak suaramu
mengalun irama Tuhan
membuat aku kaku di sini
merenung kembali ke dalam diri
mencari cahaya hati
yang kian malap ditiup pawana.
Ayu wajahmu
dihiasi cahaya iman
lambang keagungan nirmala
mengusap lembut sanubari ini
tenang setenang air bergenang
bertanya kembali ke dalam diri
ke mana destini nurani?
Siti Zubaidah
kau Ratna sebenar cinta
yang kian hilang pada abad ini
kau Ratna segala wanita
yang kian keliru di maya ini
kau Ratna kesucian
mewakili sejuta hati
yang tandus kejujuran
di lubuk insani.
Zainudin Lokman
SMK Lawas
Labels:
1998,
GB-SIMBOL,
IG-PERLAMBANGAN,
IG-SUARA,
IG-WAJAH,
IG-WANITA,
N-KEASYIKAN,
P-ZAINUDIN LOKMAN,
S-3,
T-KESUCIAN,
T-NILAI WANITA,
T-WANITA
Subscribe to:
Posts (Atom)
