(buat bakal mentua)
Maafkan kelancanganku menangguh
malam akad janji
bukannya cintaku berpaling lari
atau seri bulan purnama enggan menyimbah
cahaya pada setiap helai-helaian
sirih junjung dari pihakmu
maafkan kebiadabanku enggan
menyelak pintu hidup baru walaupun
kocak riak hatimu amat memerlukannya
meskipun kekunci itu di tanganku
sesungguhnya pengertian darimu
kugarap jadi satu;
menjadi suri segala suri harus bersedia terkunci dalam
kota kaca janji binaan sendiri
maaf kerana kelancangan dan
kebiadaban ini. lima ribu serba satu
tidak bisa menyambung retak-retak
rindu ayah bondaku; bukanlah nasib
yang bisa kutanak menjadi santapan
arjunamu jua bukan syair rindu
yang boleh menghentikan rengek tangis
cucumu di buaian hari
lima ribu serba satu sekadar menjunjung
adat yang tidak bisa dilangkahi
justeru maafkan aku, bakal menantumu yang
belum mampu meracik sirih pinang sebagai
penyeri tepak sirih di sudut serambi tetamu hidup
lima ribu serba satu adalah janji
kesetiaan dalam percaturan ini;
bukan harga sebuah maruah yang dihadiahkan
padamu dan bukannya nilai cita-cita yang
tergadai di puncak menara gading
justeru maafkan kelancanganku
menangguh malam akad janji
Noraisyah Syuhadah
PPSSP, UPM
Showing posts with label T-KEKELUARGAAN. Show all posts
Showing posts with label T-KEKELUARGAAN. Show all posts
Monday, April 6, 2009
Sunday, April 5, 2009
KUNANTI KAUPULANG
Kunanti kaupulang
ke sarang hati yang menyanyikan
dondang sayang
ladoh lanang.
Kunanti kaupulang
ke mata pandang yang menyaksikan
tari ajat
penca gertak
seni silat dan
kelahi Puteri Santubong.
Kunanti kaupulang
ke suluh indera yang mendengar
keluhan bayi
bisik sayang isteri juga
rengek suami yang payah
mencari realiti.
Kunanti kaupulang
ke ruang rasa yang menguji
pahit manis kehidupan
asam garam kemanusiaan
masam manis perhubungan
sesama kita insan yang dilahirkan.
Kunanti kaupulang
ke sudut-sudut intuisi
betapa nilai kita
yang penuh kemanusiaan
keperluan kita untuk bermanja
sekalipun pahit dimamah erti dewasa
kita sebenarnya penuh potensi
untuk menuntut segala
yang segan berkata-kata ialah
naluri hipokritisme yang
suram di mata sorotnya.
Dan aku terns menanti kaupulang
dalam kerinduan yang payah.
Jais Sahok,
Kuching.
Labels:
2005,
GB-NARATIF,
IG-UNSUR BUDAYA,
N-MELANKOLIK,
P-JAIS SAHOK,
S-6,
T-KEHIDUPAN,
T-KEKELUARGAAN,
T-KEMANUSIAAN
BAHASA KEPADA LELAKI - Maslina Mahbu
suntikkan sapa dalam bahasamu
masukkan lembut dalam suaramu
masakkan sopan dalam gerakmu
cernakan hormat dalam tingkahmu
- bahasa kepada lelaki –
gerutunya menjentik naluri
sang hawa yang perlu dimanisi
lenggok gemalai bahasamu lelaki
melebur lahar dada sang pertapa
bertuahnya kau dianugerahi
permintaanmu dituruti
kau tidak lagi sunyi
getarmu ada penenang kini
sang hawa bukannya hamba abdi
kau tengking sesuka hati
ia harus dihalusi
segenap bongkak tersembam di bumi
kau kuasai diri
olah bahasamu yang kasturi
setanggi benakmu kenanga sari
mewangi taman larangan ini
mans tebu di bibir
meresap ke dasar nubari
merentap kasar lubuk derhaka
menjadi semurni sungai yang mengalir
dari air terjun gunung serapi
bangga menepuk dada
kerana bahasamu lelaki
indah selubungku!
Maslina Mahbu
POLIKU
14 Jun 2005
HUJAN SERONG - Roslan Jomel
1
hujan petang, turun menyerong
titik yang disorong angin
terhempas dan meleleh bagai tangisan
di dinding kaca tempias liar yang
menyelit dari tingkap memilih
tepi meja, kemudian bertakung timbul.
tompokan jernih berhenti lemah
seperti bergayut menahan isi kandungan
yang menggembung di dataran kaca licin
tiupan dari belakang telah menggoyang
ikatan di dinding, seperti tumpahan sisi gelas
yang melurut lemah.
2
hujan petang yang melanggar dinding luar
mengilukan ingatan mataku
titisan tersangkut di kaca tingkap kafe
mengirim kerlipan wajah tenang ayah
sedang berjalan memikul sepasang dayung
kolar bajunya menggigil seperti ekor ikan
agak perlahan dan terkeliru menembusi mendung
dia hilang di balik selekoh sungai
di tebing, pokok nipah bercabangan.
aku memeluk batang nibung di jambatan
hujan dan angin berbelitan
menderu ke telinga bagai menyanggahku
lumpur di seberang berkilauan dipancar
kulit tembakul dan sepit ketam.
apakah yang dicari ayah sewaktu hujan?
perahu kecilnya mudah mengalah
kepada tempuhan gelombang kapal
arus laut akan memusingkan haluan dan
buritan, akhirnya dia diusir tepi oleh
ribut yang lebih bertulang daripada harapannya.
hujan petang mengikatnya kepada watak air
yang lembut tetapi mencemuh
ranting pedada dan pucuk nipah
melindungi serabut perasaannya
perahu yang melintang anak sungai
dilambung dan menggoncang keliki
seperti menahan deburan hati.
3
di hujung dunia yang berair
alam kendur mengalahkan jari tangan
kehidupan daratan berhembus kencang
meninggalkan lumpur kering di betis
berdepan kota berbatu dan jaringan
muslihat daratan, dia berundur dihambat
bayang bangunan, seperti siput tertimbus
selut yang diburu air pasang.
Roslan Jomel
Ampang Utama
Labels:
2005,
GB-NARATIF,
IG-HUJAN,
IG-KAFE,
IG-PERAHU,
N-KEASYIKAN,
N-MELANKOLIK,
P-ROSLAN JOMEL,
S-7,
T-ALAM,
T-HUJAN,
T-KEKELUARGAAN
AIR MATA - Latifah Haji Mohamad Sabli
air mata seorang ibu
yang tertakung di penjuru kalbu
adalah butir-butir rahsia pilu
yang sedih merantai pedih.
seorang ibu tidak akan menitis air mata
kerana antara daging darah dan nafas
terkunci cekalnya kerelaan
jika hatinya tidak sungguh tersentuh.
hanya Allah yang tabu kejadian
bagaimana mulanya air mata tertakung
yang terhakis dari sisa-sisa rasa sedih
terkumpul dari sekian banyak peristiwa
berteduh di kolam mata, kemudian
terlerai butir-butir mutiara
dari ikatanjurai-jurai lara
melepas rasa melerai derita
yang rahsianya air mata.
Latifah Haji Mohammad Sabli
RTM Kuching.
Subscribe to:
Posts (Atom)
