Sunday, April 5, 2009

PERJALANAN KUDUS - Adi Badiozaman Tuah



memang perjalanan ini amat panjang dan berliku
ruang waktu dan batas sempadan deria berbaur dalam ketidakpastian

setiap tanjung adalah keresahan menghimpun keresahan
setiap teluk adalah kedukaan mengulangi kedukaan
setiap pelabuhan adalah tempat terkumpulnya segala hiba dan penyesalan

terperangkap dalam kesamaran arch dan hala tuju
permulaan dan penghujung terdapat di mana-mana, saling bertindihan

kebencian dan nafsu kebinatangan ghairah bercumbu di ranjang keganasan
harga sebuah nyawa dan nilai kemanusiaan terlalu kecil dan rapuh
pada setiap masa dan ketika bisa saja dijual di pasaran angkuh
kedegilan membiak kedegilan dan kegilaan membenihkan kegilaan
di mana-mana manusia mulai kehilangan kemanusiaannya
memberi bukan kerana belas kasih atau simpati sesama insan
berkorban bukan kerana keinsafan dan keredaan
sembah bukan kerana menyedari kekerdilan dan keterbasan upaya

sekadar mengulang amalan tradisi turun-temurun tanpa soal bicara
bermukimlah segala macam rasa marah, benci dan dendam
pada setiap sudut dan ruang hati dan jiwa
sesungguhnya perjalanan ini amat payah dan meletihkan

kecuali bagi mereka yang beriman
sesungguhnya perjalanan ini amat suci dan memaknakan

setiap anak sungai kehidupan mengalirkan air rasa syukur
di sepanjang tebing tumbuh melata rasa reda dan takwa
pepohon iman utuh dan teguh berdiri memayungi segala
berjalanlah musafir dalam teduhannya dengan yakin dan pasti
bersantai dalam aman dan damai
membilang setiap ungkap syukur dengan nama Ilahi
menghitung setiap langkah dan perjalanan hari dengan akal dan kalbu

bersatulah wahyu dan ilmu di kamar suci ini
tegak dan merimbun akidah dan ibadah dalam setiap gerak dan langkah

sebenarnya perjalanan ini amat kudus dan mendamaikan
bagi mereka yang beriman
setiap denai kecil di belantara lugs adalah iktibar dan pengajaran

setiap lereng gunung dan kaki bukit adalah petunjuk dan hidayah
setiap telaga di gurun adalah ilmu dan syariat
setiap nyanyi burung adalah zikir dan ucap pasrah
setiap warna bebunga dan pelangi adalah cahaya keimanan

setiap denyut nadi adalah tauhid dan taufik
setiap embusan nafas adalah zikir kebesaran dan keesaan-Mu.



Adi Badiozaman Tuah
Kuching
16 Zulhijah 1422
bersamaan 1 Mac 2002

No comments:

Post a Comment