Sunday, April 5, 2009

DINDING - Roslan Jomel



barangkali hari ini
aku menemui manusia sempurna

sedang duduk dalam kafe tengah kota
mukanya dilindungi kabus
bawaan sifat watak wayang.

aku memilih kerusi di luar
memerhati matanya bersilangan tajam

dan secawan kopi yang lebih luas
daripada senyuman serongnya
dia menyukai meja bersentuhan dinding

perlahan terapung suasana berlapisan
di bawah pengaruh menungannya
aku tidak berdaya melintasi bingkai
fikirannya menyorong selut perasaan.

jikalau dia mendongak siling
mungkinkah dahinya mencecah langit?

setiap ungkapan berbayang timbunan buku
dengan bahasa berbeza ucapan harian
pengunjung pasar anak muda
dia melintangkan budaya kebiasaan

barangkali aku hanya serbuk abu rokok
berbanding jangkaan darjatnya.

dengan gaga membenci rupa hujan
aku memasuki kafe seakan pelarian
duduk diam di belakang
manusia yang lebar tengkuknya

dari sisi pipi, tubuhnya ramping
tanda otak yang menekan had tenaga
sikunya sedikit berisi
memikul dunia ciptaan khayalannya

keningnya tebal warisan kekebalan
lihat namanya aneh disebut.

sambil meneguk kopi lambang empayar
kanta sorotannya menghala lurus
di celah ribuan orang tepian jalan
makhluk yang berkepala leper
setiap sudut di situlah dia memiliki
negara jajahan dan era baru
atau kerajaan yang ditelunjuknya.

kerana kejadiannya terpilih
oleh kesempurnaan akalnya
sejarah tidak akan panjang
tanpa menulis nama awal dan akhirnya

hingga aku dilarang menyentuh
kulit yang mengagung keturunannya

di tepi dinding sebuah kafe
dia bersembunyi pada garisan politik

sentiasa menayangkan senyuman benuanya.



Roslan Jomel
Ampang Utama.

No comments:

Post a Comment