Sunday, April 5, 2009

BAHASA YANG BASAH - Jaafar Haji Hamdan



Kemarau yang tiba
di ladang bangsa
mengering segala hijau rasa
dalam tunas bahasaku
yang masih setia
menjejak langkah yang ditinggalkan

pada musim bunga bangga
ketika menyubur segar

Dalam kemarau itu
bahasaku tetap gagah melangkah

sambil membawa bejana perjuangan
dari perigi akar bangsa
yang telah zaman-berzaman
membasah rongga bicara
bangsaku yang satu

Bagi bahasaku
perjalanan ini perlu diteruskan

walaupun bakal kudrat
Cuma sebejana cita
ketika merentas gurun gusar
yang dipenuhi debu pemodenan

dengan angin globalisasi
meniup segenap penjuru pembangunan

Sesekali bahasaku tersungkur
apabila langkah martabat
tersandung akar malu

tentang yakin bahasaku
masih belum mampu
membawa arah tuju
bangsaku yang satu

Tetapi bahasaku tidak resah
pada setiap waktu pasrah
kerana bahasaku adalah aku
dari bangsa yang satu

Nah, bahasaku masih basah
di bibir yang rekah!



Jaafar Haji Hamdan
10.09.02-16.10.02

No comments:

Post a Comment