Showing posts with label N-NASIHAT. Show all posts
Showing posts with label N-NASIHAT. Show all posts

Monday, April 6, 2009

SAJAK UNTUKMU- Nawi A.Rahman

Ada ketikanya
kita bersama di sini
mengharungi arus dan gelombang
mencari erti dalam kehidupan

Ada kalanya
kita berpegang tangan
merempuh onak dan duri
dalam belantara ini
merintis jalan kejayaan

Ada waktunya
kita mengukir senyuman
merasai kebahagiaan
menjejaki perjalanan masa
dengan penuh ketenangan

Pun begitu,
dalam keadaan begini
kepastian mula kuragukan
pada hari-hari menjelang
masih tetapkah kau di sini?


Nawi A Rahman
Kanowit
3 September 1992

SALAM BUAT CIKGU - Adi Badiozaman Tuah

Mimpi-mimpi luka tersadai di pinggir malam
memagari lereng-lereng gunung duka
menghambat arus harap di lembah kedaifan
adalah kami cikgu
membuka pintu kamar dada rindu
melepaskan udara pengap resah
sekian lama terbuku
lalu memberanikan diri
menerjah
menyusun langkah
membunuh prasangka dan kesangsian
berabad berlabuh di teluk ketidakpastian
melayari bahtera mengharungi samudera gelora
menerobos angin monsun bulan disember
merubah wajah pantai menukar hala muara
adalah dikau cikgu
mengembangkan layar khidmat
menyusuri lautan mimpi
mencari pelabuhan kewujudan
dalam gerak tari alam penuh misteri
dengan hati sarat menatang kasih
telah kutitip pesan lewat seorang anak
ucap selamat dan salam rindu
cikgu
betapa kau
berbekalkan payung amanah
melindungi kami dari hujan alpa
meniti hari-hari yang bakal mendewasakan
dengan penuh kepastian dan keyakinan.





Adi Badiozaman Tuah
The People's Mirror,
7 Julai 1991

JANGAN - Abizai Abi



jangan patahkan ranting
jika pohon bergoyang
kerana akar yang mengasuh
tak pernah menjalarkan gopoh
ke dalam urat budaya kita
sebaliknya burulah punca angin
yuang mencipta getaran angkara

jangan lemparkan joran
jika umpan tiada mengena
kerana lautan yang menghampar
adalah sarang rezeki tak terpupus
cuma perlu mengukur waktu
saat yang sesuai menurun umpan

jangan sarungkan keris
jika hilang bisa tajamnya
kerana semangat yang diasah
bukan dengan dupa putus asa
tapi kembalilah ke alam pengasah
belajar semula mengumpul tajam

jangan pecahkan atap
jika hujan mencuri masuk
kerana sebagai rumah biasa
kesempurnaan tak munghkin terjelma
tapi carilah bahagian yang rapuh
tempat membiak zuriat kebocoran.


Miri, Sarawak
September 1991

Disiar brisalah Suarasa Putera, Jilid 1 Bilangan 1, Oktober 1991



Sunday, April 5, 2009

KELAWAR DAN SANGKAR - Abizai Abi



Kata-kata hitam yang kulontarkan
ke dalam gula teduhmu
telah bertukar menjadi kelawar
menggigit pilu hulu hatiku

hanya sakti putih kemaafanmu
mampu menjelmakan negeri sangkar
memerangkap sang kelawar
yang semakin liar


Zainal Abidin Haji Suhaili
Miri,
Julai 2006

SESEKALI MENJADI TERHORMAT - Hazami Jahari



Sesekali menjadi terhormat
memegang angkuh yang rapuh
kita diuji oleh puji
kita diduga oleh bangga

apa erti rasa besar diri
sekadar warna kelabu
usang dan hilang
dalam diri yang memang

tidak punya apa-apa

Sesekali menjadi terhormat
wajar mengucap syukur
hidup dan perjalanan ini masih kabur
kita tidak perlu takbur

Kita perlu mengukur
jarak nasib dan garis usaha

kerana perjalanan takdir
masih panjang
dan tidak mungkin mungkir.



Hazami Jahari

BAHASA KEPADA LELAKI - Maslina Mahbu



suntikkan sapa dalam bahasamu
masukkan lembut dalam suaramu
masakkan sopan dalam gerakmu
cernakan hormat dalam tingkahmu
- bahasa kepada lelaki –

gerutunya menjentik naluri
sang hawa yang perlu dimanisi

lenggok gemalai bahasamu lelaki
melebur lahar dada sang pertapa

bertuahnya kau dianugerahi
permintaanmu dituruti
kau tidak lagi sunyi
getarmu ada penenang kini

sang hawa bukannya hamba abdi
kau tengking sesuka hati
ia harus dihalusi
segenap bongkak tersembam di bumi


kau kuasai diri
olah bahasamu yang kasturi
setanggi benakmu kenanga sari
mewangi taman larangan ini

mans tebu di bibir
meresap ke dasar nubari
merentap kasar lubuk derhaka
menjadi semurni sungai yang mengalir
dari air terjun gunung serapi

bangga menepuk dada
kerana bahasamu lelaki
indah selubungku!



Maslina Mahbu
POLIKU
14 Jun 2005

RUMAH KACA - Jaafar Hamdan



Sudah berkali-kali aku berpesan
kalau mahu membina rumah kaca
jangan biarkan anak-anak kecil itu
bermain di dindingnya

kerana mereka tidak mampu
menatap wajah-wajah retak
yang terlepas pegangan
dimamah silau mentari
bersinar keasyikan

Sudah berkali-kali aku mengingati
kalau mahu membina rumah kaca
kutipkan segera kecaian rasa yang bertaburan

dari terbiar berselerak di lantai jiwa
kerana anak-anak itu
belum mengerti makna berlari
dan tentunya nanti terluka kaki
ketika menuju ke muka pintu
yang terbuka dipaut angin.

Sudah berkali-kali aku ulangi
kalau rumah kaca ini tetap juga mahu dibina

rapatkan daun pintu ini dengan takwa
kemudian kuncikan dengan rantai iman
agar anak-anak kecil itu nanti tidak bisa terlepas
kerana di luar rumah kaca
ada saja yang mengundang walang

hingga anak-anak kecil tidak mengerti
untuk kembali menjadi

generasi rumah kaca yang berperibadi


Jaafar Hamdan

Saturday, April 4, 2009

MENGAPA HARUS MEMILIH WAJAH GARANG PEPERANGAN? - Abizai Abi




Mengapa harus memilih
wajah garang peperangan?
sedangkan meja rundingan
masih terbentang panjang
tempat mencari punca nanah sengketa
merapatkan jauh jarak pendapat

menjejek tapak tolak ansur
menyembuhkan demam kesumat dendam

emas kehormatan
tak akan hilang kilauannya

jika memilih untuk berlembut
dan berlembut
tak bererti terpaksa
mengunyah buah kalah


jantung yang berdegup terlalu berharga
untuk digadai di hujung senjata
hujan merah
jangan dibiarkan bermusim lebat
kolam persahabatan

jangan dibiarkan tercemar
oleh kuman permusuhan
payung kasih sayang wajar dikembang
lambang kemanusiaan setiap manusia
mengapa harus memilih wajah garang peperangan?

sedangkan dawai damai
masih boleh terus memagar
kesejahteraan dunia
selamat daripada ancaman ngeri
neraka malapetaka
ciptaan khianat nafsu manusia.



Zainal Abidin Hj. Suhaili Miri,
Mei 1995