Showing posts with label P-AKAB. Show all posts
Showing posts with label P-AKAB. Show all posts

Thursday, April 2, 2009

JEREBU - Akab



Tanggal 19 September 1997
seluruh urat saraf tercerut menyaksikan
kehijauan alam
dan kejernihan air mengapung dengan
kibasan sayap peraknya
angin melarikan jerit-jerit liar
dan bayangan kelabu bangkit
melebar di muka
lalu suara-suara lantang semakin sayup
dan lemas di tenggelami detik-detik kabur
menjadi kaku dalam kamar kelabu
telah disaksikan betapa kejamnya
manusia sendiri
dishirkan kesenyapan waktu dan lena
dalam kiutan angin
melayari bahtera kehidupan yang
bersimpang siur
meniti ketajaman pedang dendam
membelok selokan jalan durjana
dan sayup-sayup menyelinap masuk ke
taman bunga-bungaan
di ambang jalan sia-sia
"laknat dari-Nya sumpahan para
Sahabat" kerana segala-galanya
walaupun gelincir angin yang bergema
dari puncak bukitan
menghasilkan irama merdu namun
kemerduan dan kemesraan
tidak disedari bahawa siang sudah
merangkak tua
sambil merenung siang bergelap yang
gagal dimengertikan
melainkan tengik bau kelabu berbaur
kebusukan mengajar untuk memahami
sedikit demi sedikit
ertinya dunia maha fana ini buat mereka
yang rakus dan tandus rasa
agar awan berkerisik terus bersenandung
menghilangkan
warna-warna peraknya



Abang Kassim Abang Bujang
Sri Aman

Wednesday, April 1, 2009

GERABAK USIA - Akab



sebetulnya kita adalah
penumpang
di gerabak usia mengisi hayat
tahun yang bertukar
memindahkan kita
ke sebuah gerabak lain
menempah zaman asing

landasan perjalanan ini
menuju destinasi
gerabak yang kita tumpangi
melanggar ruang ribut
dan dinding keras
sesekali terdampar isi
peribadi berserak sepanjang
rel kehidupan
lalu ia mencorak pengalaman
terpaksa kita kutip kekuatan
menahan hentakan kejahilan
dan goncangan pendirian

selagi gerabak usia meluncur
masih ada stesen idaman
kita sempat memijak
lantai perhentian
kemudian merebut kilauan
kaca tanpa kita sedar
bersama yang kita bawa
adalah selonggok batu
dan besi karat penuh noda

sejauh manakah harus
kita lanjutkan
gerabak usia ini
sedang telah kita tempah
tiket kematian paling pasti.


Abang Kassim Abang Bujang
AKAB
Sri Aman