Showing posts with label T-KAMPUNG. Show all posts
Showing posts with label T-KAMPUNG. Show all posts
Sunday, April 5, 2009
JALAN PANJANG KE KAMPUNG I - Hipani Alwi
Seseorang yang diseksa akan selalu
memikirkan kerunsingan. Bukan diri
bukan payah bukan tangis bukan anak
dan bukan diri sendiri
lebih besar runsingnya terpenjara
ia ingin membebaskan kemiskinan
di kampung-kampung. Bukan caranya
anak Melayu membaca fitrah
ribut ini datang dari dalam diri
bukan runsing yang terpenjara
Seseorang yang diseksa akan selalu
bertanyakan kepada suaranya
kerana jeritan ini adalah kerunsingan
suaranya yang tidak kedengaran
kita bisa membaca kesedihan
di dada anak-anak kampung
dia pernah memberi rumah
kepada setiap warga yang parah
Sebenamya jalan ini terlalu panjang
untuk sampai ke kampung I
runsing yang dipikul sekian lama
masih juga tidak berdarah
masih juga tidak kalah
runsing yang diributkan
tidak juga pecah berkecai
walaupun lewat dendam bertaburan
walaupun lewat ratap berpergian
sebenarnya jalan ini terlalu panjang
untuk sampai menemui kebenaran
Seseorang yang diseksa akan selalu
memikirkan kepulangannya. Bukan kepada anak bukan kepada isteri
bukan kepada keluarga dan bukan ke kampung halaman
tetapi ke dalam masyarakat
masyarakat yang memberinya cinta
memberinya kasih dan sayang
ia akan memikirkan bagaimana
membangunkan masyarakat ini
masyarakat petani
Hipani Alwi
Labels:
2002,
GB-SIMBOL,
IG-JALAN,
IG-RUMAH,
N-KEINSAFAN,
P-HIPANI ALWI,
S-4,
T-KAMPUNG,
T-PEMBANGUNAN
CERITA KAMPUNG TERAKHIR - Hipani Alwi
Katanya kita bangunkan kampung dengan resah bersembah
kita wajahkan payah dari darah penjajah
kampung ini tidak pernah terbina dari kata-kata
hanya tersilap dasar sewaktu memeluk merdeka
kampung ini terbina dari belas manusia
memelihara keinginan tiba musim dingin
demi mengecap pembangunan dari seketul batu.
Dan kampung pun terbina di setiap tepian kali
dan kampung pun terbina di setiap muara sungai
dan kampung pun terbina di semua kaki bukit
dan ada kampung terpacak pada puncak gunung
dan ada kampung tersadai di tepian pantai
hanya yang terseksa
sebuah kampung di pinggir kota.
Katanya sekurun lalu kota terbina di pinggir kampung
sejak itu resah bertapak di tanah berdaulat
kota bertambah besar mencengkam sebuah hati
dan kampung katanya harus mati
bila kota tumbuh merata negeri.
Dan mulailah ada suara membela kampung
kampung itu peribumi tidak harus mati begitu
baik di tengah kota atau di pinggir-pinggir
kata kamus kampung itu kawasan kediaman
kata kamus kampung itu di luar bandar
dan kata kamus orang kampung tidak moden
dan kata reka bentuk rumah kampung
lazimnya seperti yang terdapat di kampung
dan mulailah orang cerdik pandai
membentuk wawasan kadang-kala terlalu aneh
rumahku syurgaku kampung tempat bermanja
matiku hidupku di sawah bendang
nelayan harus meneroka laut dalam
banyak kampung bermegah dengan kampung tercantik
gerak mesra dan gerakan desa wawasan
IT masuk kampung dan PPRT
suara orang politik bergema membina kampung
katanya kampung terbina dari sebatang jalan
licin dan cantik menuju ke ibu kota.
Dan kampung pun terbina di setiap pinggir kota
dan kampung pun terbina bersama bandar sekunder
sejak itu kampung mula robek nilainya pecah
anak-anak tidak lagi berminat ke denai
hanya pada lorong-lorong dan kotak tv
katanya kampung harus moden membina manusia
membangunkan anak-anak dari dalam kaca
katanya kepercayaan dapat dibangun dari wang
nilai kemanusiaan sudah berpaksi dengan jelas
kampung katanya adalah permulaan kehidupan
kembali ke dalam diri.
Hipan i Alwi
11 November 1999
Kuching
Labels:
2001,
GB-SIMBOL,
IG-BANDAR,
IG-KAMPUNG,
N-PATRIOTIK,
P-HIPANI ALWI,
S-6,
T-KAMPUNG,
T-PATRIOTIK,
T-PERMONENAN,
T-PERUBAHAN HIDUP
Subscribe to:
Posts (Atom)
