Sunday, April 5, 2009

RUMAH KACA - Jaafar Hamdan



Sudah berkali-kali aku berpesan
kalau mahu membina rumah kaca
jangan biarkan anak-anak kecil itu
bermain di dindingnya

kerana mereka tidak mampu
menatap wajah-wajah retak
yang terlepas pegangan
dimamah silau mentari
bersinar keasyikan

Sudah berkali-kali aku mengingati
kalau mahu membina rumah kaca
kutipkan segera kecaian rasa yang bertaburan

dari terbiar berselerak di lantai jiwa
kerana anak-anak itu
belum mengerti makna berlari
dan tentunya nanti terluka kaki
ketika menuju ke muka pintu
yang terbuka dipaut angin.

Sudah berkali-kali aku ulangi
kalau rumah kaca ini tetap juga mahu dibina

rapatkan daun pintu ini dengan takwa
kemudian kuncikan dengan rantai iman
agar anak-anak kecil itu nanti tidak bisa terlepas
kerana di luar rumah kaca
ada saja yang mengundang walang

hingga anak-anak kecil tidak mengerti
untuk kembali menjadi

generasi rumah kaca yang berperibadi


Jaafar Hamdan

No comments:

Post a Comment